Ketuk-ketuk Salam


Sunday, March 3, 2013

Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah)


Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial ( Antropologi & Dakwah )
Universiti Sultan Zainal Abidin

1.     Pendahuluan

Ilmu sains sosial ialah satu ilmu yang mempersoalkan tentang kemanusiaan dalam konteks sosialnya atau mempelajari kehidupan sosial dan lebih tepat lagi ialah ilmu yang mempelajari pola tingkah laku yang lazim terdapat pada kelompok-kelompok manusia. Hal yang demikian, dapat dijelaskan bahawa ilmu sains sosial ialah suatu bentuk pengkajian mengenai kelompok manusia dalam sesebuah masyarakat.

Walau bagaimana pun, tiada individu yang dapat mempelajari perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan secara keseluruhannya. Sains sosial juga merupakan satu bidang kajian yang amat luas dan kompleks. Ilmu sains sosial terbahagi kepada beberapa cabang atau unit kajian yang lebih kecil. Unit kajian ini disebut sebagai disiplin, misalnya disiplin sosiologi, antropologi, sains politik, sejarah, ekonomi, psikologi dan sebagainya. Setiap unit atau disiplin ini adalah berdasarkan kepada cara manusia berinteraksi antara satu sama lain.


2.     Sains Sosial Pada Pandangan Islam

Menurut konteks agama Islam,ilmu telah dibahagikan kepada dua cabang  utama iaitu ilmu fardu ain dan juga ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah segala ilmu yang membawa manusia untuk mengenal pencipta iaitu Allah atau lebih mudah disebut sebagai ilmu ketuhanan. Misalnya, mengenali sifat-sifat Allah, perkara ghaib, mempelajari cara untuk beribadat, perkara yang halal dan haram.

Selain itu, ilmu yang membicarakan perkara-perkara yang berkaitan dengan hati seperti menjaga hati dan amalan hati termasuklah kesabaran, keikhlasan, hasad, ujub, takbur dan sebagainya. Seterusnya, lahirlah istilah-istilah seperti ilmu fiqh, tauhid dan juga tasawuf. Imam al-Ghazali turut menggunakan istilah ilmu Muamalah dan ilmu Mukasyafah.  Segala ilmu ini juga dinamakan sebagai Syarak.

Menurut Imam  al-Ghazali, ilmu fardu kifayah ialah suatu ilmu yang memadai jika ada seorang daripada satu kumpulan orang Islam yang belajar ilmu tersebut maka semua orang dalam kumpulan itu terlepas daripada dosa.  Sebaliknya jika tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu yang mengetahui ilmu ini, maka semua orang dalam kumpulan tersebut berdosa. Ilmu Fardhu Kifayah perlu dipelajari kerana ia merupakan ilmu yang penting untuk keperluan seharian manusia dan juga penting bagi menjamin keselesaan hidup di dunia.

Tanpa ilmu fardu kifayah, manusia akan mengalami kepayahan dalam melaksanakan tuntutan fardu ain. Ilmu-ilmu yang tergolong dalam ilmu fardu kifayah adalah termasuk ilmu perubatan, kejuruteraan, industri, matematik, ekonomi, politik dan sebagainya.

Berdasarkan konteks ilmu menurut pandangan Islam yang telah dijelaskan, ilmu sains sosial dapat dikategorikan sebagai ilmu fardu kifayah. Hal yang demikian kerana ilmu sains sosial merupkan ilmu kemanusiaan yang sentiasa berkait rapat dengan keperluan manusia dan alam sejagat. Maka ditegaskan kembali bahawa ilmu yang penting untuk menjamin keselesaan hidup manusia ini haruslah dipelajari. Sekiranya ilmu ini tidak dipelajari walau seorang pun umat Islam dalam sesebuah masyarakat itu, maka masyarakat tersebut secara keseluruhannya dihukumkan berdosa.

Walau bagaimana pun, menurut Profesor Doktor Mohd Kamal Hassan di dalam tulisan beliau iaitu Islam dan Pembangunan, peranan akidah amat penting untuk diterapkan dalam pembangunan dan juga pendidikan. Oleh sebab itu, pandangan ahli sains sosial yang beragama Islam dapat menggantikan pandangan para ahli sains sosial Barat kerana terdapat unsur akidah yang membezakan pandangan antara mereka.

Misalnya, pandangan tokoh terkemuka Islam iaitu Ibn Khaldun atau nama sebenar beliau adalah Zaid Abdul Rahman bin Khaldun yang dilahirkan pada 27 Mei, 1332 di Tunis. Karya terkenal beliau Mukaddimah telah diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris oleh Frantz Rosenthal dan telah diterbitkan sebanyak tiga jilid.

Beliau banyak menghuraikan tentang sejarah dan juga faktor-faktor naik turun sesebuah kerajaan  dalam jilid yang pertama. Jilid kedua pula membicarakan topik-topik berkisarkan ekonomi, kerajaan, ilmu pengetahuan dan pekerjaan yang wujud dalam masyarakat Afrika Utara pada ketika itu. Manakala, jilid ketiga menerangkan hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan. Pandangan dan pemikiran beliau ini amat dikagumi oleh para tokoh sejarah dunia termasuklah Benard Lewis, Anold Tonybee, P.K. Haiti dan Kofi Annan.

Berbeza dengan pandangan ahli sains sosial Barat yang lain, Ibn Khaldun mengupas dan mengutarakan pemikiran beliau mengenai pendidikan awalkanak-kanak haruslah diberi keutamaan kepada pengajaran agama dan juga al-Quran. Beliau juga mencadangkan pelbagai kaedah dan penyediaan yang berkesan iaitu dengan mendidik akhlak sejak kanak-kanak, pendidikan psikologi dan pendidikan sosial.
         

Menurut Ibn Khaldun, pendedahan dan pengajaran al-Quran secara tidak langsung dapat membentuk malakah yang membawa maksud bakat atau tabiat manusia. Di samping itu, pengajaran al-Quran juga dapat mengukuhkan akidah dan juga keimanan dalam diri seseorang itu sejak daripada zaman kanak-kanak.
         
Berbalik kepada pandangan Profesor Doktor Kamal Hassan, doktrin Tauhid yang mengandungi konsep-konsep unik mengenai ketuhanan hanya wujud dalam ajaran Islam. Oleh sebab itu, ia wajib dihayati oleh setiap individu dan umat Islam. Hal yang demikian ditekankan oleh beliau kerana ia dapat membentuk peribadi dan aspek kehidupan seorang mukmin itu dan seterusnya mempengaruhi sikap serta tingkah laku merangkumi urusan ibadat dan juga pelbagai urusan keduniaan.

            Pembangunan dalam kehidupan pula haruslah disesuaikan dengan kehendak yang telah digariskan oleh Syariat atau disebut juga sebagai panduan Rab al-Alamin. Menurut beliau lagi, penggabungan penghayatan Tauhid dan perlaksanaan Syariat dapat menjamin masyarakat menikmati kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.

Perkara ini telah menjadi asas dalam pendidikan kerana pendidikan merupakan suatu proses pembangunan insan untuk sepanjang hayat. Pembentukan akhlak yang mulia pula menjadi tujuan utama dalam pendidikan untuk mencapai ketakwaan kepada Allah dan melakukan amalan-amalan yang soleh. Peranan  akhlak dalam pendidikan iaitu sama ada secara formal atau tidak formal haruslah dikukuhkan. Oleh yang demikian, semua pihak memainkan peranan yang penting dan mempunyai rasa bertanggungjawab untuk memperkukuh akhlak yang mulia dalam masyarakat.

Doktrin Tauhid ini tidak dapat dipisahkan dengan tujuan keahlian atau profesional dan juga tujuan yang khusus seiring dengan norma-norma akhlak serta Syariat. Pembentukan akhlak yang mulia dapat mewujudkan disiplin diri individu muslim dalam melaksanakan tuntutan profesionalisma.

Beliau berpendapat bahawa asas akhlak yang tidak kukuh atau kesedaran moral yang rapuh disebabkan faktor-faktor keduniaan dan juga kebendaan semata-mata boleh dianggap sebagai satu kelemahan yang amat besar dalam profesionalisma dan juga Tamadun Sekular.

Beliau juga turut menyentuh tentang penerapan ajaran Islam secara praktikal dan teori dengan membicarakan keistimewaan pendidikan Islam yang diserapkan di sekolah-sekolah dan di institusi-institusi tinggi di Malaysia melalui sistem Pendidikan Negara supaya dapat disempurnakan dan dilaksanakan bagi membangunkan manusia secara bersepadu seiring dengan matlamat  pendidikan Islam yang juga melibatkan sokongan daripada keluarga.


Pembentukkan  ilmu-ilmu kemasyarakatan daripada perspektif Islam adalah menyeluruh iaitu merangkumi ilmu kemasyarakatan Sekular-Liberal. Ilmu tersebut dinyatakan  tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya dan masyarakat penerima. Berkenaan dengan hubungan al-Quran dan sains, beliau menyatakan bahawa al-Quran memberi tempat yang sepatutnya pada perkembangan ilmu pengetahuan, di samping itu ia tidak mengandungi kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan penemuan sains.

Pengajaran mengenai alam yang menjadi bidang tugas ilmu sains dalam perspektif al-Quran, haruslah membawa kepada kesedaran tentang wujudnya kesatuan, kehormanian, keseimbangan, penyusunan yang amat rapi dan tujuan suci iaitu ciri-ciri yang mengagumkan serta membawa kepada keinsafan betapa hebatnya ilmu dan kuasa Maha Pencipta yang telah mengaturkan segalanya.

Al-Quran bukan sahaja mengandungi kenyataan-kenyataan mengenai alam nyata yang bertepatan dengan penemuan sains malah ia adalah sebuah kitab suci yang tidak pernah jemu menyeru manusia mengkaji seluruh perjalanan alam nyata termasuklah diri mereka dengan menggunakan segala keupayaan yang terdapat pada diri manusia itu sendiri.

Beliau turut menegaskan serta menuntut kesedaran bahawa sains itu perlu dibina berdasarkan World-view al-Quran dan juga seharusnya seorang ahli sains itu mendekatkan diri dengan Allah Taala.

Para cendikiawan Islam dari seluruh dunia telah mengadakan satu persidangan dan hasilnya mereka telah menyedari bahawa sistem pendidikan di negara-negara umat Islam secara majoriti telah didominasi oleh konsep Sekular yang boleh mempengaruhi generasi muda Islam. Oleh yang demikian, melalui persidangan ini muncul gagasan untuk menyediakan satu pembaharuan  ke arah sistem pendidikan yang seiring dengan falsafah dan konsep pendidikan Islam bagi membantu umat Islam mencapai matlamat mereka.
         
Konsep bersepadu menyatakan bahawa ajaran Islam mempunyai pertalian antara satu sistem dengan satu sistem kehidupan yang lain. Kesepaduan dalam pembangunan manusia amat penting. Kesepaduan tersebut adalah penerapan dan perlaksanaan tuntutan Allah dalam pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya sama ada pada peringkat individu atau peringkat kolektif.

Semua kegiatan manusia di dunia hendaklah dilakukan sebagai manifestasi pengabdian Ubudiyyah kepada Allah kerana beriman dan bertaqwa kepadaNya menjadi dua dasar pembangunan diri dan masyarakat yang utama. Perkara ini dapat mencorakkan dan memberi petunjuk pada perkembangan aspek fizikal, rasional, estetika, sosio-ekonomi dan politik dalam kehidupan sejagat.

         
Sekiranya diperhatikan secara rasional, dunia Barat moden yang lahir zaman Renaissance adalah menyerupai hasil perjuangan pahit dalam menentang teologi Kristian yang memberi banyak tekanan dan mempunyai pandangan yang sempit.  Sejarah tersebut seharusnya tidak boleh dibiarkan berulang. Oleh itu, ajaran dan konsep yang diterapkan dalam Islam telah berjaya membawa satu perkembangan dan menyempurnakan suatu falsafah berbentuk saintifik yang utuh dan mampu menjadi satu landasan yang kuat kepada perkembangan ilmu sains sosial, malah pelbagai ilmu yang lain.

Penjelasan di sini adalah, penegasan yang dikemukakan oleh Profesor Doktor Kamal Hassan bahawa pandangan ahli sains sosial Islam yang seharusnya sebagai ganti kepada sesetengah pandangan atau pemikiran ahli sains sosial Barat adalah bernas. Hal yang demikian adalah disebabkan terdapat suatu yang membezakan pandangan antara mereka iaitu doktrin Tauhid atau ilmu yang berkaitan dengan ketuhanan. Tambahan lagi, ajaran yang dibawa oleh Islam adalah bertepatan dengan fitrah manusia dan menyeluruh dalam memenuhi seluruh aspek kehidupan manusia berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Namun begitu, sesetengah pendapat ahli sains sosial Barat boleh diguna pakai selagi ia tidak bertentangan dengan Syariat dan tuntutan agama Islam. Pendapat dan pemikiran yang positif daripada mereka digabungkan dengan pandangan dan pendapat ahli sains sosial Islam supaya usaha untuk mencapai pembangunan dalam masyarakat dapat ddilaksanakan dan dicapai melalui langkah-langkah yang berkesan.


Kesimpulan

Berdasarkan huraian yang telah dikemukakan, jelaslah bahawa Islam mengiktiraf ilmu sains sosial sebagai satu ilmu yang baik dan haruslah dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Hal ini disebabkan ilmu sains sosial merupakan satu ilmu kemanusiaan yang dapat membawa suatu pembangunan dalam diri individu dan juga masayarakat. Walau bagaimana pun, Tauhid diletakkan sebagai asas yang unggul dalam struktur pembangunan dan pendidikan sesebuah masyarakat.


RUJUKAN

Satu Catatan Mengenai Hubungan Antara Falsafah Dan Sains Sosial oleh Kassim Ahmad, Julai 1983

Mohd Kamil Abd Majid & Rahimin Affandi Abd Rahim (2008), “Perubahan Sosial Dan Impaknya Terhadap Pembentukan Modal Insan Menurut Ibn Khaldun”, dalam Jurnal Hadhari, Institut Islam Hadhari UKM, v. 1, 2008.


Konsep Pendidikan Islam Menurut Pemikiran Ibn Khaldun : Suatu Kajian Terhadap Elemen-elemen Kemasyarakatan Islam oleh Syahrul Riza, Julai 2008.

http://www.ipij.info/modules/article/view.article.php?7

http://hannani.wordpress.com/artikel-1/

No comments: